Dua Beradik Cipta Sejarah

21/08/2010 14:09

Adik-beradik juara Pertandingan Pidato Piala Diraja

Abd. Rahim Sudin dan Rozita Lazim bersama kedua-dua anak mereka, Nur Adilla (kiri) dan Nur Aqilla di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

 

PUTRAJAYA 15 Okt. - Pasangan adik-beradik, Nur Adilla Abd. Rahim, 16, dan adiknya, Nur Aqilla, 12, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato Piala Diraja Ke-27 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Kejayaan bagi kategori sekolah menengah dan rendah itu melayakkan kedua-duanya membawa pulang piala pusingan, wang tunai masing-masing RM1,000 dan RM800 beserta sijil penyertaan.

Mereka yang mewakili Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, dan Sekolah Menengah Agama Al-Irsyad, Pulau Pinang menyifatkan kejayaan sungguh bermakna itu merupakan keajaiban dan anugerah yang tidak terhingga daripada Ilahi.

Anak pertama dan kedua kepada pasangan Abd. Rahim Sudin, 56, dan Rozita Lazim, 41, itu turut tidak menyangka impian bapanya untuk melihat kejayaan mereka berdua menerusi pertandingan tersebut akhirnya tercapai.

''Ini merupakan hadiah paling berharga untuk ibu bapa kami yang banyak memberi dorongan dan sumber inspirasi sehingga kami mencapai tahap ini.

''Selain itu minat kami membaca buku-buku ilmiah, majalah, surat khabar serta blog di Internet banyak membantu kepada kejayaan ini," kata Nur Adilla yang pernah menjadi juara pertandingan itu bagi kategori sekolah rendah pada 2005.

Sementara itu, Nur Aqilla berharap kejayaan kali pertama ini akan menjadi pendorong kepadanya untuk terus menceburkan diri dalam bidang tersebut sekali gus mencipta kejayaan lain.

''Banyak yang boleh kita pelajari dengan membaca kerana menerusinya kita memperoleh idea, pengajaran dan pengalaman bagaimana untuk berjaya dalam hidup," katanya yang meminati buku himpunan mutiara kata petikan ucapan pemimpin-pemimpin tersohor dunia.

Kemenangan Nur Aqilla menewaskan dua peserta lain, Nur Ainna Maryam Nor Azman dari Sekolah Kebangsaan Kangkong, Pasir Mas, Kelantan dan Nasuha Yaacob dari Sekolah Kebangsaan Sri Kulim, Kedah yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu Nur Adilla pula mengalahkan Muhammad Izzat Syameer Mohd. Zaid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas, Kelantan dan Nurhaziqah Norani dari Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdullah, Kuching Sarawak.

 

Sumber di Utusan Online